mutakhir

Tujuh hilang di laut

Oleh HM Digital

Yan: “Saya berharap suami bersama enam penumpang bot ditemui segera dalam keadaan selamat,” kata Zurotulain Ishak, 33, isteri kepada tekong bot, Kharulanuar Arshad, 39, yang dilaporkan hilang bersama enam pemancing pada jarak 13 batu nautika, Barat Pulau Bunting dari Jeti Kuala Sala, di sini, kelmarin.

Katanya, kali terakhir dia bertemu suaminya pada jam 6.30 pagi sebelum Kharulanuar keluar dari rumah mereka di Kampung Padang Jambu, Simpang Empat, Kangkung untuk ke Jeti Kuala Sala bagi membawa pelancong memancing.

Bagaimanapun, suaminya tidak pulang ke rumah seperti yang dijadualkan namun dia tidak mengesyaki sesuatu yang buruk sehinggalah rakan suaminya datang meminta salinan kad pengenalan suami.

“Saya ada menghubungi suami saya pada kira-kira jam 10 malam tadi (kelmarin), memandangkan dia belum pulang ke rumah ketika itu, namun gagal dihubungi.

“Saya fikir bateri telefon dia habis dan tidak mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku kerana suami sering pulang lewat kerana menyelesaikan hal-hal bot, malah pernah pulang ke rumah pada jam 2 atau 3 pagi.

“Namun saya terkejut apabila mengetahui dia bersama pemancing lain hilang pagi tadi (semalam),” katanya.

Sementara itu, difahamkan seorang rakan mangsa, Mohd Sukeri Ghazali, 50, berkata, Kharulanuar ada menghubunginya memberitahu cuaca di laut tidak begitu elok sebelum terputus hubungan kira-kira jam 7 pagi semalam.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah Operasi Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairilizhar Norazmi berkata, operasi mencari dan menyelamatkan akan dibuat sehingga jam 7 malam dan akan diteruskan sekiranya semua mangsa tidak ditemui.

Katanya, setakat ini hanya dua daripada tujuh mangsa dikenali identiti mereka selepas waris tampil membuat laporan.

“Seorang mangsa yang dikenalpasti identiti adalah tekong bot, Kharulanuar dan seorang lagi pemancing berasal dari Taman Selasih, Kulim, Mohd Ramli, 57 manakala lima lagi mangsa lain dikatakan berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 4:24am
d