mutakhir

Air mata iringi kucupan terakhir

Oleh HM Digital

Alor Gajah: Hanya deraian air mata yang mengiringi kesedihan seorang suami di saat mengucup jenazah isterinya ketika dipertemukan buat kali terakhir di Hospital Melaka di sini, semalam.

Mohd Nazri Kamaruddin, 34, yang patah kedua-dua tangan dan kaki dalam kemalangan yang mengorbankan isterinya, Siti Sarah Azahari, 34, diberi kesempatan menatap jenazah isterinya itu sebelum dikebumikan.

Malah, perkarangan hospital turut diselubungi suasana pilu selepas ada dalam kalangan ahli keluarga dan waris arwah bergenang air mata melihat Mohd Nazri, yang terbaring di atas katil mengucup Siti Sarah.

Pada kemalangan jam 7 malam kelmarin di Kilometer 197.9, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Ayer Keroh itu, Siti Sarah dan pemandu treler, P Vedantham, 56, meninggal dunia di lokasi.

Manakala anak lelaki pasangan itu yang berusia enam tahun parah di kepala dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka manakala seorang lagi yang berusia empat tahun selamat.

Terdahulu, jenazah Siti Sarah yang selesai dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah pada jam 2 petang terus dibawa ke Hospital Melaka untuk dipertemukan dengan suaminya buat kali terakhir.

Seterusnya, jenazah Siti Sarah dibawa pulang ke rumah keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Asam Kumbang, Bemban, Jasin.

Ibu arwah, Esah Osman, 58, berkata, kali terakhir dia berjumpa Siti Sarah pada cuti Deepavali lalu namun anak ketiga daripada enam adik-beradik itu tidak menunjukkan perubahan.

Esah berkata, dia hanya mengetahui kemalangan meragut nyawa anaknya itu pada jam 11 malam kelmarin, selepas adik ipar Siti Sarah datang ke rumahnya untuk memaklumkan perkara terbabit.

“Ketika diberitahu berita duka ini, saya dan suami tak percaya, semuanya berlaku secara mengejut. Lima tahun lalu, anak kedua kami pergi buat selamanya sekarang anak ketiga pula.

“Anak kedua juga meninggal dunia ketika usianya 34 tahun, begitu juga dengan Siti Sarah.

“Mungkin saya tak sedar perubahan arwah, tetapi ketika dia mahu pulang ke rumahnya selepas cuti, saya berasa seperti hendak sangat menciumnya,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 4:27am
d