mutakhir

Roboh lepas geram

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Rawang: “Bunyi rempuhan kuat menyebabkan saya lari lintang-pukang sebelum dimaklumkan pelanggan gerai makan saya dirempuh sebuah jentolak,” kata pemilik gerai makan di Bandar Country Homes Rawang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, gerai makan milik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nini, 44, dilanggar jentolak dipandu individu dikenalinya.

Nini berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk mengemas barangan kerana mahu menutup gerai perniagaan sambil dibantu suaminya berusia 36 tahun.

“Ketika itu masih ada seorang pelanggan yang sedang minum. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi rempuhan kuat di bahagian belakang gerai.

“Akibat terkejut dengan bunyi itu, saya melarikan diri sebelum pelanggan memaklumkan gerai kami dirempuh jentolak dipandu seorang lelaki yang juga penghuni di kawasan kejiranan berhampiran,” katanya.

Nini berkata, dia kemudian pergi semula ke gerainya untuk memeriksa keadaan sebelum mendapati bahagian belakang premis rosak akibat rempuhan berkenaan.

“Saya dimaklumkan individu yang melakukan perbuatan itu adalah lelaki berusia 50-an. Sebelum ini dia ada meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan saya membuka gerai makan di kawasan berkenaan sejak lebih setahun lalu,” katanya.

Selepas melanggar gerainya itu, lelaki terbabit terus menghilangkan diri begitu saja.

“Saya ada membuat laporan di Balai Polis Rawang, di sini berhubung kejadian itu.

“Saya berharap masalah ini boleh diselesaikan secara baik dan tidak mengancam nyawa kami,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 5:33am
d