mutakhir

Ceti haram ditangkap

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS menahan dua ceti haram atau along serta merampas pelbagai barangan dan iklan berkaitan pinjaman wang tanpa lesen pada serbuan di Taman Universiti, Skudai Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kedua-dua suspek yang juga lelaki berusia 34 tahun dan 39 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD JBU 6.30 petang.

“Kedua-dua suspek ditahan di sebuah premis perniagaan kerana terbabit dengan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa lesen.

“Kami turut merampas tujuh kad mesin juruwang automatik (ATM) milik individu lain dan lima telefon bimbit,” katanya pada kenyataan hari ini.

Mohd Taib berkata, susulan itu, pihaknya memeriksa sebuah pangsapuri di kawasan sama.

“Hasilnya, kami merampas 1,400 poster dan 2,500 pelekat iklan pinjaman wang tanpa lesen.

“Turut dirampas lapan buku tercatat nama peminjam, buku cek, komputer dan sebuah kereta,” katanya.

Kedua-dua suspek direman enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 1:06pm
d