mutakhir

Syukur semua selamat

Oleh Nur Syazwana Mansor

ENAM pemancing dan seorang tekong yang dilaporkan hilang kira-kira 14 batu nautika barat Kuala Sala, Yan, ditemui selamat, 2 petang hari ini oleh komuniti nelayan.

Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, semua mangsa ditemui selamat dengan bot berkenaan dihanyutkan kira-kira 30 batu nautika dari kawasan mereka dilaporkan hilang akibat kerosakan enjin.

"Maklumat awal menyatakan mereka berjaya membaiki kerosakan itu dan ditemui komuniti nelayan ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Kuala Sala.

"Namun bekalan minyak yang ada tidak mencukupi untuk meneruskan perjalanan pulang.

"Pada masa ini, bekalan minyak sedang dihantar kepada mereka dan bot itu dijangka sampai ke jeti kira-kira 5 petang," katanya ditemui di Jeti Kuala Sala, Yan hari ini.

Mereka yang dilaporkan hilang sejak malam kelmarin adalah tekong, Kharulanuar Arshad, 39, serta enam pemancing iaitu Mohamad Ramli, 57, Muad Salihin Ibrahim, 52, Mohd Nazri Abd Hamid, 46, Azmi Raif Mat Noh, 46, Jasni Daud, 45, dan Thai Kean Onn, 49.

Berita berkaitan

[UPDATE] Harapan isteri

Tujuh hilang di laut

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 4:06pm
d