mutakhir

Satu warga polis, satu maklumat jenayah

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SETIAP warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak diarah mendapatkan minimum satu maklumat jenayah setiap bulan dalam usaha menangani jenayah.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, arahan itu dibuat selari dengan satu daripada empat fokus utama yang ditekankan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagi memperkasakan PDRM.

Menurutnya, fokus yang dimaksudkan adalah inovasi dan teknologi berteraskan 'Intelligence-Led Policing' (LED) bagi menangani jenayah.

Katanya, setiap warga PDRM Perak daripada semua bahagian perlu memberi kerjasama dalam usaha menangani jenayah dengan mendapatkan sebarang maklumat jenayah untuk dikaji, dinilai dan kemudian diambil tindakan.

“Bayangkan, jika hampir 9,000 warga PDRM Perak memberi sekurang-kurangnya satu maklumat jenayah untuk diambil tindakan setiap bulan, saya rasa Perak akan menjadi negeri paling selamat didiami.

“Arahan ini berkuat kuasa serta merta membabitkan semua bahagian termasuk unit teknikal, semboyan dan sebagainya,” katanya ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Ipoh, Batu Gajah dan Sungai Siput di Mes Pegawai Kanan Polis di Ipoh hari ini.

Hasnan berkata, sebelum ini memang ada arahan kepada pegawai dan anggota untuk mendapatkan maklumat mengenai jenayah namun tidak secara menyeluruh.

“Saya yakin setiap warga PDRM Perak mampu mendapatkan maklumat jenayah termasuk daripada masyarakat setempat seperti di pasar dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Hasnan menyaksikan serah terima tugas antara bekas KPD Ipoh Senior Asisten Komisioner Sum Chang Keong yang kini menjawat jawatan Ketua Bahagian Pentadbiran dan Penyelidikan Maktab PDRM Kuala Lumpur kepada KPD baru, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby.

Mohd Ali, 50, sebelum ini bertugas sebagai Timbalan KPD Petaling Jaya dan turut pernah berkhidmat dalam Unit Tindakan Khas (UTK) selama 26 tahun, manakala Rozeni, 51, bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Kanan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urusetia KPN dan mempunyai pengalaman luas terutama membabitkan kes jenayah komersial.

Beliau turut menyaksikan serah terima tugas antara bekas KPD Batu Gajah Senior Asisten Komisioner Mohd Nasir Omar yang kini berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu Urusetia KPN kepada Timbalannya Superintendan Tan Boon Hooi yang memangku jawatan KPD.

Majlis serah terima tugas juga dilakukan antara bekas KPD Sungai Siput Superintendan Abd Fatah Abd Rahman yang bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sebagai Pegawai Turus Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) kepada KPD baru, Superintendan Rozeni Ismail.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 4:08pm
d