mutakhir

Sempat henti motosikal sebelum meninggal

Oleh Ramli Ibrahim

SEORANG lelaki sempat memberhentikan motosikalnya sebelum meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di tepi jalan masuk Taman Agropolitan, Rantau Manis, Gua Musang, pagi ini.

Mayat Haswadi Hassan, 46, ditemui orang ramai pada jam 7.10 pagi dalam keadaan terbaring di atas jalan berhampiran motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, anggotanya terus ke lokasi sebaik menerima laporan penemuan mayat lelaki berkenaan.

Beliau berkata, motosikal mangsa didapati tidak terbalik kerana lelaki itu sempat berhenti sebelum rebah di kawasan berkenaan.

“Kematian lelaki itu dipercayai akibat serangan jantung dan hasil siasatan awal juga tidak menemui sebarang kecederaan pada badan mangsa. Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat dan polis akan mendapatkan laporan lengkap berhubung kematian mangsa.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 4:56pm
d