mutakhir

Mangsa pukul 'Datuk Seri' lapor SPRM

Oleh Hayati Ibrahim

EMPAT anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang dipukul lelaki bergelar Datuk Seri Jumaat lalu, membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, hari ini.

RELA dalam satu kenyataan berkata, laporan itu dibuat Melvin Cheong Mun Khai, 19, Leong Jiun Jie, 21, Lee Weng Poh, 27, dan Ho Hoong Keong, 55, berhubung cubaan memberi rasuah bagi menutup kes berkenaan.

"Mereka sudah membuat laporan dan memberi keterangan berhubung suapan yang ditawarkan bagi menutup dan menarik balik laporan.

"Semuanya memberi keterangan secara bergilir-gilir bermula jam 12.45 tengahari hingga 3.30 petang hari ini dan mendapat kerjasama yang baik daripada pihak SPRM," katanya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan ada pihak tertentu cuba menawarkan wang kepada anggota RELA yang dipukul lelaki bergelar Datuk Seri, Jumaat lalu, untuk menarik balik laporan polis.

Ketua Pengarah RELA Zulkifli Abidin dipetik berkata, ada orang tengah menghubungi seorang mangsa dan menawarkan wang berjumlah RM10,000.

Namun, beliau dilaporkan berkata, tidak sesekali bertolak ansur dalam perkara ini dan tidak akan menerima tawaran berkenaan memandagkan ia membabitkan maruah RELA.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Jumaat lalu, tiga anggota RELA mengalami bengkak pada mata kiri, selain sakit pada beberapa bahagian badan selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki berkenaan.

Mereka mendakwa kejadian berlaku hanya kerana mereka meminta Datuk Seri itu untuk mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.

Berikutan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Ampang selain turut membuat aduan kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong yang juga Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 7:07pm
d