mutakhir

'Akan guna sebaik-baiknya...'

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

"SAYA akan gunakan cermin mata pemberian Tuanku Pemangku Raja ini dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah, selepas setahun, akhirnya dapat juga saya cermin mata ini," kata Zikri Bustamam,14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu, Pasir Mas yang menerima bantuan cermin mata, hari ini.

Dia antara 121 pelajar asnaf yang terakhir menerima bantuan cermin mata itu sumbangan daripada Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim, dalam satu majlis diadakan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat, hari ini.

Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan mencemar duli hadir dan menyampaikan bantuan berkenaan. Turut serta Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Datuk Faudzi Mamat.

Zikri berkata, dia mula rabun jauh dan sukar melihat ketika bersekolah rendah dan ketika itu hanya sempat mengenakan cermin mata sehingga menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Selepas habis peperiksaan, saya tidak lagi menggunakan cermin mata kerana ia kabur dan saya tidak dapat melihat dengan jelas.

"Ayah (Bustamam Che Awang, 50) tidak mampu menukar cermin mata yang baru kerana tidak cukup wang memandangkan hanya ayah hanya kerja di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam," katanya ketika ditemui.

Menurut anak keenam daripada tujuh beradik itu, ayahnya juga penanggung tunggal keluarga dan semua adik beradiknya masih bersekolah.

Dalam pada itu, Faudzi berkata, yayasan itu memperuntukkan lebih RM300,000 untuk sumbangan cermin mata kepada pelajar asnaf di seluruh Kelantan sejak 2011.

Beliau berkata, lebih 3,000 pelajar menerima manfaat daripada pemberian itu dan 785 penerima memperolehnya, tahun ini.

"Bagi fasa pertama pada September lalu, pihak yayasan sudah menyerahkan cermin mata kepada 297 pelajar asnaf yang membabitkan daerah, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

"Awal Oktober lalu, kita sudah menyerahkan kepada 302 pelajar dari Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang serta 65 di Gua Musang.

"Hari ini merupakan fasa terakhir membabitkan Pasir Mas dan Tumpat di mana seramai 121 pelajar menerima manfaat," katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 7:15pm
d