mutakhir

[UPDATE] Mayat lelaki Nepal ditemui

Oleh Hamzah Osman

MAYAT lelaki warga Nepal yang lemas ketika mandi bersama sembilan rakan sekerjanya di Pantai Chenang, Langkawi malam tadi, ditemui jam 2 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Polis Dr Che Ghazali Che Awang, berkata, mayat Prabin Lamichhane, 21, ditemui selepas 14 jam laporkan hilang berhampiran tempat mangsa tenggelam.

"Mayat warga Nepal yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama sembilan rakannya pada jam 12 tengah malam ditemui pada jam 2 petang hari ini berhampiran tempat kejadian.

"Mayat kemudian dihantar ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Che Ghazali berkata, terdahulu mangsa dilaporkan tiba di Langkawi untuk bercuti sejak Ahad lalu bersama sekumpulan rakan sekerjanya dari Pulau Pinang dan dijangka pulang hari ini.

"Ketika mandi bersama sembilan rakannya di Pantai Chenang di sini, malam tadi, mangsa dilaporkan hilang selepas gagal dikesan ketika rakannya mahu pulang ke tempat penginapan.

"Pencarian rakan-rakannya di sekitar tempat kejadian hanya menemui baju terakhir yang dipakai mangsa," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai anggota bomba, polis, Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Che Ghazali berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Berita berkaitan:

Lelaki Nepal dikhuatiri lemas

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 7:52pm
d