mutakhir

Gajah pijak motosikal

Oleh Safuri Kamarudin

"EMPAT malam berturut-turut sejak Jumaat lalu gajah liar berkeliaran di hadapan rumah. Saya makin takut kerana bukan saja tanaman dimusnahkan, malah rumah dan motosikal turut dipijak sehingga pecah dan rosak," kata Jamaliah Ismail,64, dari Kampung Bukit Hijau, Mukim Kupang, Baling.

Jamaliah berkata, dia dan anaknya Saharani Ghazali,43, yang juga seorang orang kurang upaya lembam, takut tinggal di rumah selagi kumpulan gajah itu tidak dihalau ke habitat asalnya.

Katanya, dia tidak dapat melelap mata sehingga awal pagi memikirkan haiwan itu terus mengganas dan merosak harta benda.

"Sudah empat malam gajah itu waktu tengah malam sehingga awal pagi sebelum beredar.

"Halaman rumah saya bersepah dengan najis gajah dan semalam motosikal yang diletakkan di hadapan rumah turut dipijak," katanya.

Jamaliah berkata, sejak 30 tahun tinggal di rumah itu ini kali kedua gajah menghampiri rumahnya.

"Kali pertama bulan November tahun lalu dan kejadian terbaru gajah liar yang membawa anak masuk ke kawasan rumah sejak Jumaat lalu," katanya ditemui hari ini.

Menurutnya, dia tidak ada tempat tinggal lain dan di situlah tempat dia dan anak berteduh.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung, Idris Yaakob berkata, penduduk kampung itu semakin bimbang apabila nampak banyak kesan tapak kaki gajah menuju ke penempatan penduduk.

"Saya percaya gajah itu masih berada di hutan paya kira-kira 500 meter dengan rumah penduduk dan bimbang ia keluar ke kampung ketika penduduk nyenyak tidur.

"Justeru pihak berkenaan wajar menghalau dengan segera ke habitat asal," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Harun Abd Aziz ketika melawat rumah Jamaliah semalam, berjanji akan membantu membaik pulih kerosakan yang berlaku.

Katanya, selain pelbagai tanaman musnah, bumbung, bilik air dan bangsal di hadapan rumah warga emas itu rosak akibat ditolak gajah.

"Saya difahamkan penduduk bersengkang mata menjaga kawasan yang menjadi laluan gajah masuk ke kampung dengan menyalakan unggun api.

"Kita peka dengan ancaman gajah sehingga penduduk tidak berani keluar menoreh getah dan ke kebun kerana bimbang terserempak dengan haiwan itu," katanya yang turut menyampaikan sumbangan barangan makanan dan wang tunai.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 8:14pm
d