mutakhir

Pemancing, tekong selamat tiba [UPDATE]

Oleh Nur Syazwana Mansor

"ALHAMDULILLAH berkat doa ahli keluarga dan semua yang ada di sini, kami dapat kembali dengan selamat ke sisi keluarga masing-masing," kata pemancing, Muhd Salihin Ibrahim, 57, yang diselamatkan nelayan selepas 39 jam terdampar di tengah laut akibat kerosakan enjin bot sejak petang kelmarin.

Selain dia, lima rakannya Mohamad Ramli, 57, Mohd Nazri Abd Hamid, 47, Azmi Raif Mat Noh, 47, Jasri Daud, 48, dan Thai Kean Onn, 49, serta tekong bot Kharulanuar Arshad, 39, turut terpaksa bermalam di lautan sebelum diselamatkan oleh bot komuniti nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pelbagai agensi lain susulan laporan kehilangan mereka, semalam.

Mereka tiba di Jeti Kuala Sala jam 4.20 petang tadi dengan disambut tangisan kegembiraan ahli keluarga masing-masing yang berkampung di Jeti Kuala Sala, Alor Setar sejak malam kelmarin sebaik mengetahui kehilangan mereka.

Muhd Salihin yang mewakili lima rakannya berkata, mereka bertolak dari Jeti Kuala Sala pada jam 7.45 pagi kelmarin selepas mencari umpan untuk memancing.

Katanya, bot disewa mereka kemudian bergerak menuju ke kawasan tuas paling tengah untuk memancing sehingga jam 4.30 petang.

"Ketika kami lihat cuaca mula mendung, lantas mula mengangkat sauh dan tekong menghidupkan enjin laut untuk pulang semula ke jeti.

"Bot yang kami naiki bergerak sejauh dua kilometer (km) dalam keadaan agak berangin ketika itu sebelum enjin bot tiba-tiba berhenti dan tidak boleh dihidupkan semula," katanya.

Katanya, selepas beberapa kali percubaan menghidupkan enjin gagal, mereka kemudian melabuhkan semula sauh bagi menghalang bot daripada terus bergerak jauh.

"Bagaimanapun keadaan angin timur yang kuat pada malam pertama kami di laut menyebabkan bot terus dihanyutkan ombak.

"Kami berada pada jarak kira-kira 60 km dari jeti pada pagi semalam dan hanyut lagi sehingga sejauh 88 km pagi tadi," katanya ketika ditemui sebaik tiba di Jeti Kuala Sala, hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu pelbagai cara mereka lakukan bagi menghalang bot daripada terus hanyut.

"Kami gunakan semua benda yang ada untuk menahan bot dari terus bergerak jauh dan pada masa sama tekong bot juga berusaha menghidupkan enjin bot yang rosak.

"Alhamdullilah selepas tiga kali percubaan, enjin bot berkenaan dapat dihidupkan semula dan kira-kira jam 8.30 pagi tadi kami meneruskan perjalanan untuk pulang sehingga ke kawasan yang mempunyai isyarat komunikasi, lalu tekong menghubungi rakan nelayannya untuk bantuan," katanya.

Sementara itu, Kharulanuar yang menyediakan perkhidmatan bot memancing sejak kira-kira lima tahun lalu berkata, musibah itu adalah yang kali pertama dialaminya.

“Pada mulanya saya agak takut akan keselamatan penumpang yang lain namun lega apabila mereka masing-masing bertenang dan bekerjasama mencari jalan untuk terus bertahan.

"Kami cuba buat sehabis baik untuk menyelamatkan diri dari perkara yang tidak diingini dan syukur berkat doa semua orang kami berjaya pulang dengan selamat," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua agensi terbabit dalam operasi SAR iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti nelayan.

Katanya, beliau menasihatkan kepada semua pemancing supaya memaklumkan kepada ahli keluarga masing-masing sebelum ke lokasi memancing bagi memudahkan usaha mencari dan menyelamat sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

"Bagaimanapun, pihak kami bersyukur kerana semua mereka dapat ditemui selamat," katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 11:06pm
d