mutakhir

Geng Paikar tumpas [METROTV]

Oleh Zulfa Mohamad

SEORANG lelaki tempang yang juga perancang utama geng pecah kedai antara tiga suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan pada Ahad dan tengah malam tadi.

Geng berkenaan terbabit dalam kegiatan pecah masuk salun dan kedai barangan elektrik di Jalan Raja Uda, Butterworth pada jam 11.30 malam, 26 Oktober dan jam 9 malam pada keesokan hari.

Hasil maklumat awam, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) diketuai Asisten Superintendan Mohd Yusof Ibrahim menyerbu sekitar kawasan Mak Mandin dan Butterworth dan berjaya menahan dua lelaki yang terbabit dalam kedua-dua kes berkenaan.

Ketua Polis SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, susulan tangkapan dua suspek pertama, polis menahan seorang lagi suspek yang juga perancang utama dalam serbuan di kawasan parkir di Ayer Itam, Georgetown, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia 34 dan 43 tahun dikenali dengan Geng Paikar kerana suspek utama tempang.

“Dua daripada suspek masing-masing mempunyai dua dan tujuh rekod jenayah lampau manakala suspek utama mempunyai 17 rekod berkaitan pecah rumah dan pecah kedai.

“Geng berkenaan menjalankan kegiatan jenayah setahun lalu dan mencuri apa saja barang dalam kedai,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kepala Batas, hari ini.

Selain mempunyai rekod jenayah lampau, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek turut positif dadah.

Menurutnya, selain tiga suspek terbabit, pihaknya turut menahan dua pembeli barangan curi yang dijual suspek berusia 40-an.

“Ketiga-tiga suspek itu direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: October 31, 2017 @ 2:06pm
d