mutakhir

Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman

Oleh Ibrahim Isa

WARGA kerja Johor Corporation (JCorp) sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang meninggal dunia di Kuala Lumpur, petang semalam.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kasim berkata, Allahyarham bukan saja berperanan besar dalam mencorak ekonomi JCorp sepanjang berkhidmat selama 28 tahun, malah menjadi antara pemangkin mempraktikkan prinsip ekonomi Islam dalam sistem pengurusan korporat.

"Kami seluruh pekerja dan pengurusan JCorp serta syarikat kumpulan merakamkan ucapan takziah dengan pemergian Muhammad Ali ke rahmatullah di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya, petang tadi.

"Sebagai seorang Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp selama lebih 28 tahun dari 1982 hingga 2010, Allahyarham menyumbang jasa dan bakti besar hingga menjadikan JCorp sebagai sebuah konglomerat disegani di rantau ini.

"Iltizam Allahyarham mempraktikkan prinsip ekonomi Islam dalam sistem pengurusan korporat serta komitmen melaksanakan program pembangunan keusahawanan Bumiputera selain memperkenalkan wakaf korporat menjadikan beliau antara tokoh ekonomi terkemuka pernah dilahirkan Johor dan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, warga JCorp amat berbangga kerana Allahyarham pernah memimpin mereka hingga ke persada kejayaan dan bagi pihak seluruh anggota kerja JCorp dan syarikat kumpulannya, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Kami doakan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan hambaNya yang soleh dan beriman," katanya.

 

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 1:21am
d