mutakhir

Tak mahu terus bersedih...

Oleh HM Digital

Putrajaya: “Bukan mudah melupakan mereka bertiga dan saya juga pasti mereka juga tidak mahu saya terus bersedih atas kehilangan mereka,” kata Mashawani Mohamed Shahid, 37, ibu kepada tiga beradik, Muhd Harris Ikhwan, 10, Muhd Hafiz Iskandar, 11, dan Muhd Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13, yang maut dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Dato Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September lalu.

Mashawani bersama waris dan ahli keluarga 22 mangsa yang maut dalam tragedi sama ditemui pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Mangsa Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah oleh Jabatan Peguam Negara, di sini, semalam.

Sumbangan RM32,500
itu diserahkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Mashawani ketika ditemui berkata, dia akui tidak boleh duduk sendirian selepas kejadian itu sebaliknya kerap menyertai perjumpaan bersama ahli keluarga dan waris mangsa lain bagi melepaskan kerinduan dan berkongsi kesedihan.

“Saya juga kena terima hakikat yang pergi tetap pergi, yang masih hidup mesti kena teruskan kehidupan. Saya masih ada tiga lagi anak untuk dijaga dan dipelihara. Justeru, saya perlu kuat,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan pembahagian sumbangan RM7.6 juta yang diterima pusat tahfiz oleh orang awam, Mashawani berkata, pihaknya difahamkan, sumbangan berkenaan masih di peringkat juruaudit.

“Saya tidak mahu pertikaikan pembahagian sumbangan itu tetapi, saya yakin mereka (pengurusan pusat tahfiz) patut tahu apa yang perlu mereka lakukan pada sumbangan itu,” katanya.

Sebelum ini, pengetua pusat tahfiz berkenaan, Mohd Zahid Mahmood memaklumkan pihaknya melantik peguam dan juruaudit untuk menentukan cara pembahagian sumbangan yang diterima orang ramai kepada semua pihak yang terbabit dalam kejadian kebakaran itu.

Menurutnya, pihaknya menyerahkan perkara itu (pembahagian) kepada pihak dilantik bagi memastikan ia tidak menimbulkan persoalan dan isu pada masa depan.

Sementara itu, Mohamed Apandi berkata, beliau secara peribadi tersentuh hati dengan tragedi menimpa dua tenaga pengajar dan 21 anak-anak tahfiz yang maut itu dan ia memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 6:09am
d