mutakhir

Gelagat sakit patah kaki

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Patah kaki kanan selain parah pada buku lali kaki kiri. Itu padah menimpa seorang lelaki yang nekad terjun dari tingkat dua sebuah rumah kedai di Chow Kit, di sini.

Lelaki terbabit melakukan tindakan kurang bijak ketika cuba melarikan diri sebaik mengetahui operasi dilakukan Penguat Kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) jam 11 malam kelmarin.

Dia sebelum itu ditemui berlegar-legar di Jalan Chow Kit 1 sebelum disoal siasat pegawai AADK Daerah Dang Wangi.

Dia bagaimanapun meminta kebenaran untuk menemui isterinya di sebuah bilik sewa di tingkat dua rumah kedai berhampiran.

Dua pegawai AADK kemudian mengekori lelaki berusia 37 tahun yang tiba-tiba melarikan diri dengan masuk ke bilik sewa milik individu lain.

Lelaki itu kemudian terjun melalui tingkap di tingkat satu kediaman setinggi kira-kira lima meter sebelum membuka penutup longkang dan masuk ke dalam saluran berkenaan.

Bagaimanapun lelaki itu merangkak keluar semula daripada dalam longkang dalam keadaan mengerang kesakitan.

Ketua Pegawai AADK Dang Wangi, Mohamad Hanif Omar berkata, lelaki itu yang disoal siasat bagaimanapun mendakwa tidak mengambil sebarang bahan terlarang.

“Dia mengerang kesakitan dalam keadaan gelap sebelum pihak kami memanggil ambulans untuk menghantarnya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menerima rawatan.

“Pihak kami tidak dapat menjalankan ujian air kencing terhadap mangsa kerana mengutamakan rawatannya. Bagaimanapun, dia mengaku tidak memgambil dadah.

“Kami juga tidak pasti punca dia melarikan diri sehingga sanggup terjun dari tingkat atas bangunan. Siasatan lanjut dijalankan dengan agensi lain sama ada dia terbabit dalam kes lain,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 6:16am
d