mutakhir

Anak tidur ibu lalok

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: “Tolonglah encik, jangan tahan saya. Saya ada anak kecil yang perlu dijaga,” rayu seorang ibu muda sambil menangis sejurus ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sebuah bilik sewa di Chow Kit di sini, malam kelmarin.

Terdahulu, wanita berusia 25 tahun itu ditahan Penguat Kuasa AADK Daerah Dang Wangi kira-kira jam 11 malam ketika turun untuk membeli makanan dan meninggalkan bayi lelakinya berusia setahun empat bulan di bilik sewa kerana sedang tidur.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, dia ditahan pihak AADK sebelum mengaku mengambil dadah syabu pada petang hari sama.

Menurut wanita itu, dia bekerja sebagai pencuci serta melakukan pelbagai kerja lain untuk membeli dadah dan melepaskan gian di dalam bilik sewa.

Wanita itu mendakwa akan membiarkan anaknya tidur terlebih dahulu sebelum menagih dadah di dalam bilik sama.

Terkejut dengan pengakuan wanita itu, beberapa pegawai AADK mengarahkannya menunjukkan bilik sewa dihuni.

Ketua Pegawai AADK Dang Wangi, Mohamad Hanif Omar berkata, operasi yang bermula jam 10.30 malam itu memberi fokus terhadap penghuni rumah tumpangan dan hotel bajet di sekitar Chow Kit yang dikenal pasti menjadi ‘port’ penagihan dadah.

“Dalam operasi berkenaan, pihak kami menahan 36 individu dan 33 daripada mereka berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.

“Seramai 23 lelaki dan 10 wanita ditahan termasuk seorang wanita bersama bayinya selepas disyaki menagih dadah. Wanita itu mengaku ditinggalkan suami sejak setahun lalu dan tinggal bersama anaknya di bilik sewa di kawasan Chow Kit,” katanya.

Mengambil kira keselamatan dan kebajikan bayi itu, pihak AADK terpaksa menahan ibu muda itu bagi kebaikan kedua-dua mereka.

“Daripada 33 individu ditahan, seramai 19 orang didapati positif dadah jenis methaphetamine, 13 positif morfin dan seorang positif ganja,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 6:17am
d