mutakhir

'Balik awal' malam tadi

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PENGUNJUNG dua pusat hiburan di sekitar Jalan Ampang, Kuala Lumpur, tergamam apabila diserbu pihak berkuasa, kira-kira 11 malam tadi.

Ketua Penyelaras Ops Banteras Aktiviti Haram (BAH), Azman Mahmood berkata, serbuan dilakukan di tiga lokasi iaitu di Jalan Ampang dan PPR Jinjang.

“Tiga puluh empat individu ditahan di dua pusat hiburan membabitkan warga tempatan dan asing dari Vietnam serta Thailand.

“Tujuh puluh tiga lagi warga tempatan ditahan dalam operasi di PPR di Jinjang.

“Kebanyakan yang ditahan mengambil dadah jenis syabu dan ganja," katanya ketika ditemui dalam operasi itu.

Azman berkata, pihaknya turut menahan 14 pengunjung Islam yang sedang leka berhibur dan minum arak.

Menurutnya, mereka akan dipanggil untuk sesi kaunseling dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ops BAH itu adalah operasi siri ke-39 yang dijalankan dan membabitkan 346 anggota agensi penguatkuasaan terdiri daripada DBKL, JAWI, PDRM, Imigresen, AADK dan JKM.

Selain itu, 17 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyertai operasi itu.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 7:49am
d