mutakhir

Rakan tak berani, hanya menjerit

Oleh Fardy Bungga

LELAKI dikhuatiri lemas selepas terjun ke laut untuk mengambil perahunya yang hanyut, di perairan Menumbuk, Kuala Penyu.

Ketika kejadian, mangsa bersama dua lagi rakannya ke laut kira-kira dua kilometer dari pantai untuk membina bagang atau tempat menjemur ikan bilis di perairan berkenaan.

Bagaimanapun, perahu mereka yang diikat pada bagang terlepas dari ikatan dan hanyut dibawa arus ombak.

Menyedari kejadian itu, mangsa Awang Tahir Daud, 49, terjun ke laut untuk mengambil semula perahu itu namun mangsa yang dipercayai kepenatan kemudiannya meminta pertolongan rakannya.

Kedua-dua rakannya tidak berani untuk terjun menyelamatkan rakan mereka dan hanya menjerit meminta bantuan beberapa pekerja di bagang berhampiran sebelum mangsa hilang daripada pandangan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.14 malam semalam.

Katanya, satu jentera bersama tujuh anggota dan seorang pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat di persisir pantai dan permukaan air namun masih gagal mengesan mangsa.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 10:30am
d