mutakhir

Jumpa baki duit bawah tangga

Oleh Omar Ahmad

SPRM menahan Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, disyaki meminta dan menerima rasuah RM30,000.

Lelaki berusia 37 tahun itu disyaki meminta rasuah daripada pengurus projek syarikat kejuruteraan petroleum supaya tidak diambil tindakan memasang Mesin Angkat (Grip Hoist) tanpa mendapat kebenaran daripada JKKP Johor.

Sumber-sumber SPRM Johor, berkata suspek ditahan di satu hotel di Johor Bahru, pada 2.40 petang semalam.

Katanya, dalam pemeriksaan di rumah suspek, pasukan penyiasat menjumpai RM18,505 disembunyikan di bilik dan bawah tangga kediaman suspek.

Turut dirampas beberapa dokumen berkaitan projek berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a)Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan penahanan.

Menurutnya, suspek akan dihadapkan ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 10:38am
d