mutakhir

Seorang maut kereta bertembung

Oleh Ravale Savarinathan

LELAKI berusia 40-an maut manakala seorang wanita patah tangan kanan selepas kereta dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di Batu 5, Jalan Maharaja Lela, Teluk Intan, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.10 pagi, lelaki yang memandu kereta Proton Iswara maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami manakala wanita berusia 30-an yang memandu Toyota Wish patah tangan kanan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kemalangan berkenaan.

Katanya, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa menaiki Proton Iswara tersepit di tempat duduk pemandu.

"Kerja menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas sehingga mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Wanita yang memandu Toyota Wish mengalami kecederaan patah tangan kanan dibantu oleh orang awam sebelum anggota bomba tiba dan dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan,"katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk di bahagian depan.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 10:46am
d