mutakhir

Penangan gulai 'temenong'

Oleh Aizat Sharif

HIDANGAN gulai ‘ikan temenong’ disediakan di Warung Gulai Ikan Meletop di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah ternyata menarik minat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang singgah bersarapan di warung itu dalam rangka lawatannya ke Kedah selama sehari hari ini.

Pemilik warung berkenaan Siti Rohani Mohd Nor, 48, berkata, dia cukup teruja apabila warungnya menjadi pilihan Perdana Menteri untuk singgah bersarapan.

“Saya sudah dimaklumkan sejak dua minggu lalu oleh Pegawai Daerah dan begitu teruja apabila Perdana Menteri akan datang ke warung saya ini.

“Secara jujurnya, saya tidak sangka warung ini dipilih sebagai lokasi bersarapan Perdana Menteri dan saya sudah menyediakan hidangan istimewa untuk beliau,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di warungnya hari ini.

Menurutnya, sebagai persiapan, dia sudah menyiapkan hidangan untuk 1,500 pengunjung lain yang dijangka turut bersama bersarapan ketika lawatan berkenaan.

“Persiapan sudah dimulakan sejak jam 4 pagi lagi dengan dibantu 10 pekerja.

“Sudah tentu, hidangan ikan segar disediakan di mana ikan temenong dan tongkol adalah dua ikan yang digunakan untuk sajian hari ini,” katanya.

Dia yang berniaga sejak dua tahun lalu di taman itu menganggap kehadiran Najib di warungnya sebagai satu penghargaan terbesar sepanjang mencari rezeki di kawasan itu.

Sementara itu, Najib yang tiba di warung berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi disambut mesra oleh penduduk di kawasan itu.

Malah, beliau turut meluangkan masa 20 minit bersarapan di warung itu dengan ditemani Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) Kedah serta penduduk setempat.

Selepas bersarapan, Perdana Menteri meluangkan masa melawat Pasar Nelayan Kampung Seberang Kota yang terletak hanya 300 meter dari warung berkenaan.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 12:04pm
d