mutakhir

Didakwa bunuh sepupu

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

SEORANG pencuci kereta berdepan hukuman mati selepas didakwa membunuh sepupu perempuannya di Taman Temerloh Makmur, Temerloh, 21 Oktober lalu.

Iskandar Zulkarnain Zolkifli, 26, didakwa membunuh Robiatul Ain Mohamod, 27, di sebuah rumah di Jalan Temerloh Makmur 3, Taman Temerloh Makmur, Temerloh, antara jam 8.30 hingga 9 malam, 21 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh apabila tuduhan tehadapnya di dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Inspektor Irmawathy Mohamad Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Najwa kemudian menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada tawaran ikat jamin diberikan kepada tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan Robiatul Ain ditemui tertiarap di ruang tamu rumahnya dengan kesan ditikam pada muka serta bahu selepas dipercayai bertengkar dengan tertuduh.

Kejadian berpunca apabila mangsa dikatakan menuduh lelaki berkenaan mencuri.

Siasatan polis menemui pisau dan gunting dipercayai senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa dalam kejadian itu.

Pada prosiding sama, tertuduh juga mengaku bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis morfin dalam badannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada 22 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 12:26pm
d