mutakhir

Habuan seks: Guru dipecat jika terbukti salah

Oleh Ibrahim Isa

GURU lelaki yang mendakwa boleh menjamin pekerjaan kepada pelajar yang sanggup melakukan hubungan seks dengannya akan dipecat serta-merta sekiranya siasatan mendapati perkara sahih.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan berkata, pihaknya menjalankan siasatan dan pada masa sama memberi ruang kepada polis melakukan perkara sama.

Menurutnya, pihaknya yakin keluarga pelajar ada membuat laporan polis dan tidak mahu mengganggu siasatan.

"Kami di peringkat kementerian berpendapat ini satu perbuatan serius dan kelakuan seorang pemburu seks.

"Dia bukan saja tidak layak mendidik malah mengkhianati kepercayaan diberikan ibu bapa untuk mendidik anak mereka.

"Sekiranya terbukti kejadian itu berlaku, lelaki berkenaan akan dipecat dan dilarang memasuki mana-mana sekolah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Hal Elwal Murid Peringkat Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia 2017 di Pejabat Pendidikan Johor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran klip audio perbualan lelaki berusia 56 tahun itu dengan seorang wanita berdurasi 8:49 saat yang dilaporkan satu portal berita.

Portal berkenaan mendakwa, dalam audio itu, lelaki yang juga guru sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di ibu kota itu mendakwa sering mendapatkan pekerjaan kepada lepasan pelajar menengah yang sanggup melakukan hubungan seks dengannya.

Selain itu, lelaki berkenaan memberitahu sudah meniduri empat pelajar sekolah menengah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Lelaki berkenaan dengan bangga berkata, sering membantu bekas pelajar mendapat pekerjaan kerana mempunyai ramai kenalan.

"Tolong bagi tahu masa dan tempat pertemuan, tempoh yang sanggup diluangkan.

"Jika tidak berminat, sila bagi tahu kerana masih ramai yang menunggu giliran," kata lelaki itu dalam klip audio ketika berbincang dengan ibu kepada seorang pelajar sekolah.

Difahamkan lelaki berkenaan sudah meletak semua jawatan dalam sebuah parti politik dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur.

#kw guru minta habuan seks, tindakan kementerian

#loc 1.492659, 103.7413591

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 5:05pm
d