mutakhir

Di mana Muhammad Farhim?

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

IBU memohon kerjasama orang ramai mencari anak lelakinya dipercayai melarikan diri dari rumah di Teluk Kumbar, Georgetown, sejak dua hari lalu.

Noor Nazieana Abdul Nasir, 33, berkata, anak keduanya, Muhammad Farhim Fahril Mohd Hamizi, 12, dilaporkan keluar rumah kira-kira 2 petang Isnin lalu.

Menurutnya, sebelum itu anaknya berada di rumah bersama datuk dan nenek serta adik yang lain kerana tidak pergi ke sekolah pada hari berkenaan.

"Semasa saya keluar pergi mengambil anak ketiga di sekolah, Muhammad Farhim dikatakan keluar dari rumah tanpa pengetahuan datuk dan neneknya.

"Sebelum itu, Muhammad Farhim ada meminta izin neneknya untuk keluar dari rumah, tetapi tidak diizinkan sebelum bertindak nekad keluar tanpa membawa apa-apa dokumen kerana ia ada pada saya," katanya.

Noor Nazieana berkata, dia bersama suami ada berjumpa dengan rakan sekolah anaknya, tetapi mereka tidak tahu di mana kanak-kanak berkenaan berada.

Beliau berkata, selepas usaha mencari gagal, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Kumbar, petang Isnin lalu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anak lelakinya diminta menghubungi talian 013-5120122 atau balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: November 1, 2017 @ 6:05pm
d