mutakhir

Jalinan kerjasama UUM, NSTP

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan lawatan ke Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di sini, semalam bagi menyuarakan pendapat dan cadangan mengenai prospek antara industri dan universiti.

Lawatan membabitkan 28 delegasi UUM, disambut Editor Eksekutif Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini, Editor Pendidikan (BH), Fadzlena Jafar, Penolong Editor Pendidikan News Straits Times (NST), Rozana Sani, dan Pengarang Bersekutu (Rencana) Harian Metro, Hussain Jahit.

Menurut Penolong Naib Canselor UUM Kolej Sastera dan Sains (CAS), Prof Dr Huda Ibrahim, menerusi lawatan akademik yang diadakan ini secara tidak langsung dapat memberikan peluang jalinan kerjasama antara NSTP dan UUM.

“Lawatan yang buat julung kalinya diadakan disertai seluruh pasukan UUM, untuk melihat peluang jalinan kerjasama antara universiti dan NSTP.

“Kami sememangnya memerlukan jalinan yang kukuh dengan pihak luar dan salah satunya pihak media,” katanya.

Kata Dr Huda lagi NSTP dilihat sebagai satu organisasi media yang sistematik dalam penghasilan berita.

“Menerusi lawatan ke meja berita di NSTP, kami dapat melihat satu proses kerja yang sangat sistematik, dalam menghasilkan berita, kami juga dapat memberikan cadangan mengenai bidang akademik dan juga industri yang dapat memberikan impak positif kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.

“Pihak kami juga berharap agar, NSTP dapat menyediakan peluang-peluang bagi pelajar UUM,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 7:23am
d