mutakhir

Lelongan 200 karya Peranakan di NSTP

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Lebih 200 karya seni dan artifak Peranakan dipamer di Galeri Prima, Balai Berita The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP) bermula hari ini hingga 11 November untuk tujuan lelongan pada harga antara RM900 hingga RM75,000.

Lelongan akan dijalankan pada 12 November di lokasi sama.

Karya seni yang dipamer bermula jam 10 pagi hingga jam 7 malam itu menawarkan pelbagai koleksi terindah, menarik serta hasil tangan pelukis ternama Malaysia termasuk Asia Tenggara, manakala, artifak menampilkan keunikan dan warna-warni komuniti Peranakan.

Pengarah Lelongan Seni Henry Butcher (HBArt), Sim Polenn berkata, terdapat 140 karya seni disediakan untuk dilihat oleh orang ramai terutama peminat lukisan tempatan sebelum menyertai sesi lelongan.

“Kami menyasarkan kira-kira 80 peratus jualan dan itu akan menjadi satu kebanggaan kepada kami untuk terus menembusi pasaran serantau dalam menyampaikan dan mempromosi seni kepada pengumpul di dalam negara dan luar negara.

“Ini juga dianggap sebagai langkah positif memandangkan pertumbuhan seni Asia dalam pasaran semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pameran itu di sini, semalam.

Pelukis seperti Patrick Ng Kah Onn, Datuk Mohd Hoessein Enas, Awang Damit Ahmad dan Zulkfli Yusoff antara yang menampilkan hasil tangan mereka termasuk artis dari Indonesia seperti Heri Dono, Kartika Affandi dan Nyoman Gunarsa serta dari Singapura iaitu Choy Weng Yang dan Kumari Nahappan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Lelongan Aset Henry Butcher (HBBA), Tang Chee Meng berkata, mereka dibantu oleh kurator dan pakar Peranakan, Henry Bong serta CN Liew untuk pameran kali ketiga yang dilakukan sejak tahun lalu.

“Pameran 97 jenis artifak Peranakan kali ini bertemakan Treasures of The Peranakans/Straits Chinese - The Journey Continues.

“Pelbagai barangan unik seperti barang kemas dan pinggan serta mangkuk porselin dipamer untuk lelongan serta akan dimiliki oleh pengumpul barangan antik yang bertemakan flora dan fauna,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 7:26am
d