mutakhir

Jaga tapak kerja

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: “Setiap hari saya akan pastikan semua pekerja di tapak binaan mematuhi disiplin dan menjaga kebersihan dalam memastikan lokasi sekitar tapak binaan bebas dari pembiakan nyamuk aedes,” kata pemenang tempat pertama menerusi projek West Side III dalam program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Tapak Binaan, Syarikat Grand Dynamic Builder, Shafii Sallehuddin, 47.

Program yang dianjurkan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKLP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu dilaksanakan bertujuan memastikan persekitaran tapak binaan bebas dari pembiakan nyamuk aedes.

Shafii berkata, dia tertarik untuk menyertai program yang dianjurkan JKWPKLP itu selepas mendengar taklimat awal pelaksanaan program dalam usaha memerangi pembiakan nyamuk aedes di tapak binaan pada tahun lalu.

“Selepas sesi taklimat diberi, saya terus bersetuju menyertai program yang dianjurkan JKWPKLP dengan mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan pihak penganjur untuk memenangi anugerah ini.

“Saya tidak sangka usaha menerapkan nilai kebersihan dalam diri setiap pekerja membuahkan hasil apabila projek di tapak binaan saya memenangi anugerah ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan di Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam usaha memerangi pembiakan nyamuk aedes di tapak binaan, memerlukan komitmen semua pihak termasuk pekerja asing di mana mereka perlu menjaga kebersihan setiap kali selesai melakukan pekerjaan di tapak binaan agar tiada kes pembiakan nyamuk aedes dicatatkan di kawasan tapak binaanya itu.

Hadir sama, Pengarah JKWPKLP Dr Zainudin Abdul Wahab; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) JKWPKLP Dr Sirajuddin Hashim; Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL Datin Dr Noor Akma Shabuddin serta Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Zainora Zainal.

Sementara itu, Dr Zainudin berkata, anugerah yang diberi kepada 33 pemaju tapak binaan yang menyertai program itu adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pihak pemaju dan kontraktor berganding bahu dalam mengurangkan kes denggi di negara.

“Dari Januari hingga 28 Oktober tahun ini, sebanyak 189 tapak binaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diperiksa dan 66 daripada jumlah itu didapati positif pembiakan nyamuk aedes.

“Daripada jumlah itu, 30 tapak binaan diarah tutup dan didakwa di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP 1975), 24 diambil tindakan pendakwaan, 13 dikenakan kompaun dan 12 dikeluarkan notis arahan pembersihan,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 7:26am
d