mutakhir

Ibu kerja, dua anak lalok syabu

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Dua beradik berkongsi hobi sama dengan menjadikan rumah keluarga mereka sebagai tempat melepaskan gian ketagih syabu.

Dua beradik masing-masing berusia 30 dan 48 tahun itu ditahan Penguat Kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di rumah mereka di sebuah PPR dekat Bandar Tun Razak, di sini, malam kelmarin.

Mereka memberi alasan tertekan dengan kesempitan hidup, selain dipengaruhi rakan.

Pasangan adik-beradik itu antara 20 individu ditahan AADK Daerah Cheras dalam Op Perdana bermula jam 10.30 malam di sekitar Cheras dan Bandar Tun Razak di sini.

Malah, dalam operasi itu juga, pihak AADK yang membuat pemeriksaan di sebuah kafe siber sebelum menahan dua beradik masing-masing berusia 22 dan 26 tahun selepas didapati positif dadah.

Ketua Pegawai AADK Cawangan Cheras Mohd Azlan Ahmad berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan di kawasan perumahan kos rendah, kafe siber dan bilik sewa di sekitar daerah itu yang didapati menjadi sarang penagih dadah melepaskan gian dan melepak.

“Dalam operasi ini kami menahan 20 individu berusia dari 19 hingga 40 tahun. Lima daripada mereka didapati positif dadah jenis heroin, sembilan positif ganja dan enam positif methaphetamine.

“Ketika serbuan di sebuah rumah, kami mendapati dua beradik positif dadah dan menjadikan rumah mereka sebagai tempat menagih ketika ketiadaan ibu mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan dua beradik lagi di sebuah kafe siber ketika sedang melepak di premis berkenaan.

“Semua yang ditahan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) dan 6(2) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. Turut dirampas dalam operasi ini alat yang digunakan untuk menagih,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 7:28am
d