mutakhir

Pecat cikgu durjana

Oleh Ibrahim Isa

Johor Bahru: Guru lelaki yang mendakwa boleh menjamin pekerjaan kepada pelajar perempuan yang melakukan hubungan seks dengannya akan dipecat serta-merta sekiranya siasatan mendapati perkara itu berlaku.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan pada masa sama turut memberi ruang kepada polis melakukan perkara sama.

Menurutnya, pihaknya juag berkeyakinan keluarga ada membuat laporan polis dan tidak mahu mengganggu siasatan.

“Kami di peringkat kementerian berpendapat ini satu perbuatan serius dan kelakuan seorang pemburu seks. Dia bukan saja tidak layak mendidik, malah mengkhianati kepercayaan diberikan ibu bapa untuk mendidik anak mereka.

“Sekiranya terbukti kejadian itu berlaku, (guru) lelaki berkenaan akan dipecat dan dilarang memasuki mana-mana sekolah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Hal Elwal Murid Peringkat Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia 2017 di Pejabat Jabatan Pendidikan Johor, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran klip audio perbualan lelaki berusia 56 tahun itu dengan seorang wanita berdurasi lapan minit 49 saat yang dilaporkan sebuah portal berita.

Berdasarkan audio terbabit, portal berkenaan mendakwa lelaki yang juga guru sebuah sekolah rendah di ibu kota itu sering mendapatkan pekerjaan kepada lepasan pelajar menengah yang sanggup melakukan hubungan seks dengannya.

Selain itu, lelaki berkenaan memberitahu sudah meniduri empat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Lelaki berkenaan dengan bangga berkata, dia sering membantu bekas pelajar mendapat pekerjaan kerana mempunyai ramai kenalan.

“Tolong beritahu masa dan tempat pertemuan, tempoh yang sanggup diluangkan. Jika tidak berminat, sila beritahu kerana masih ramai yang menunggu giliran,” kata lelaki itu dalam klip audio ketika berbincang dengan ibu kepada seorang pelajar.

Difahamkan, lelaki berkenaan sudah meletak semua jawatan dalam sebuah parti politik dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 7:40am
d