mutakhir

Kesan semula MH370

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Operasi mencari merungkai kehilangan pesawat MH370 akan disambung semula seawal-awalnya Januari 2018.

Ia akan dimulakan selepas Malaysia, Australia dan China mengkaji data penilaian semula kawasan pencarian pesawat MH370 merangkumi keluasan 25,000 kilometer persegi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, matlamat utama tiga negara ketika ini adalah memastikan ketepatan data teknikal kawasan pencarian baharu yang dikemukakan pakar Australia.

Selanjutnya beliau berkata, pencarian diharap berupaya dilaksanakan di kawasan lebih terperinci merangkumi 5,000 kilometer persegi yang terletak di pinggir utara selatan Lautan Hindi berbanding zon operasi sebelum ini.

“Operasi pencarian MH370 akan disambung semula, seawal-awalnya Januari 2018 jika Australia, Malaysia dan China berpuas hati dengan semua terma perjanjian dikemukakan Ocean Infinity.

“Oleh itu, kita memperuntukkan dua syarat iaitu data penilaian semula oleh pakar dari Australia perlu tepat dan terma perjanjian dikemukakan syarikat Ocean Infinity memihak kepada ketiga-tiga negara,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan replika cek bernilai RM40,000 kepada 40 wakil waris kru penerbangan MH370 dan MH17, semalam.

Dana pendidikan dengan jumlah keseluruhan RM1.6 juta itu adalah hasil sumbangan Eu Yan Sang, Genting Malaysia Bhd, Hap Seng Plantations dan Kuala Lumpur Kepong Berhad.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Liow menegaskan, Malaysia, Australia dan China bertekad hanya akan setuju untuk melantik Ocean Infinity bagi mengendalikan operasi pencarian semula MH370 jika terma ‘no find, no fee’ dipersetujui syarikat berkenaan.

“Empat pertemuan diadakan dengan Ocean Infinity, sejak September lalu untuk berunding syarat menyambung misi pencarian MH370 di perairan Australia,” katanya.

Dalam perkembangan MH17, Liow berkata, Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) membabitkan lima negara ketika ini dalam fasa menyiapkan siasatan jenayah nahas berkenaan yang dijangka dimuktamadkan awal tahun depan.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 8:03am
d