mutakhir

Ubat imunisasi cecah RM40,000

Oleh HM Digital

Batu Pahat: “Saya memerlukan ubat imunisasi berharga RM40,000 untuk sekali rawatan dalam tempoh setahun supaya keadaan kesihatan baik, namun apakan daya keluarga tidak berkemampuan.”

Begitu kata Muhammad Syamim Hamim Abdul Aziz, 23, penghidap penyakit Crohn iaitu salah satu penyakit radang usus kronik yang menyebabkan berlaku radang di seluruh lapisan dinding sistem pencernaan bermula dari mulut hingga ke dubur.

Muhammad Syamim yang bekerja sebagai pembantu pentadbiran di pusat hemodialisis di bandar ini berkata, doktor memaklumkan kuman menjangkiti rongga di badannya menyebabkan tumbuh bisul di bahagian duburnya.

Menurutnya, penyakit yang dihidapi sejak dua tahun lalu itu kebiasaannya menyerang penduduk di Eropah dan dia menjadi pesakit kedua disahkan menghidap penyakit berkenaan di negeri ini.

“Pada mulanya saya mengalami simptom sakit perut dan kerap membuang air besar, namun kebelakangan ini penyakit saya bertambah serius sehingga terpaksa mengambil cuti sakit sejak September lalu kerana badan menjadi lemah untuk bergerak,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat Mohd Hamidi Mad Tap di rumah keluarganya di Taman Bahagia, di sini, semalam.

Menurutnya, dia kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada setiap bulan dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, dalam tempoh dua minggu sekali.

Sementara itu, Mohd Hamidi berkata, pihaknya akan cuba membantu Muhammad Syamim untuk mendapatkan rawatan sebaiknya supaya penyakit yang dihidapinya sembuh.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Muhammad Syamim boleh menghubunginya di talian 017-7414117.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 8:05am
d