mutakhir

Persinggahan paling lama

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Selepas 60 tahun memeterai hubungan diplomatik dengan Malaysia, pewaris takhta Britain, Putera Charles ingin mengenali Malaysia dengan lebih mendalam sempena lawatan sulungnya selama tujuh hari ke negara ini bermula hari ini.

Ia sekali gus menjawab persoalan mengapa tempoh persinggahan ke Malaysia lebih lama berbanding Singapura dan India dalam rangka lawatan anggota kerabat diraja Britain bermula kelmarin hingga 9 November ini.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Vicki Treadell berkata, Putera Charles akan menggunakan peluang itu untuk mendalami Malaysia dalam pelbagai aspek termasuk kepelbagaian budaya dan kaum, selain perkongsian mengenai aspek hubungan dua hala antara United Kingdom dan Malaysia.

“Ini persinggahan paling lama berbanding negara lain yang pernah dikunjungi kerana ia satu lawatan paling istimewa dan bersejarah buat Putera Charles yang pertama kali bertandang ke negara ini selepas 60 tahun hubungan diplomatik United Kingdom dan Malaysia terjalin.

“Sudah pasti, Putera Charles mahu mengenali keunikan yang terdapat di Malaysia seperti budaya, flora dan fauna, nilai warisan serta mendekati lapisan rakyat di negara ini dengan lebih dekat,” katanya pada sidang media di Pejabat Suruhanjaya Tinggi British, di sini, semalam.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 10:15am
d