mutakhir

Serbu PATI di kilang papan

Oleh Nordiana Shafiee

ENAM puluh tujuh pendatang tanpa izin (PATI) ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi bersepadu di Sungai Petani tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Mustafar Ali berkata, mereka yang ditahan terdiri warga Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Indonesia berusia antara 14 hingga 50 tahun.

Katanya, operasi bermula 12 tengah malam itu juga disertai 128 anggota penguat kuasa daripada Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Seramai 715 warga asing diperiksa di kilang papan dan penempatan di sekitar kawasan perusahaan Bukit Selambau.

"Mereka yang ditahan melakukan kesalahan seperti tidak memiliki sebarang pas atau dokumen sah dan melanggar syarat pas diberi mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Semua PATI akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, imigresen akan memperluaskan penggunaan peranti bagi orang ramai menyemak status kawalan imigresen di pintu masuk utama negara mulai bulan ini.

"Peranti itu mula diperkenalkan bulan lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan akan digunakan di KLIA 2 dan Bangunan Sultan Iskandar, Johor tidak lama lagi.

"Peranti itu memudahkan orang ramai untuk menyemak status kawalan masing-masing sebelum tiba di kaunter imigresen bagi mengelakkan kesesakan.

“Sebelum ini sering berlaku kesesakan berikutan terdapat penumpang menghadapi sekatan kawalan untuk ke luar negara dengan beberapa agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

Menurutnya, agensi seperti PTPTN membuka kiosk sendiri di lapangan terbang bagi membantu penumpang yang ingin membuat pemeriksaan status kawalan mereka, sekali gus mengurangkan kesesakan di kaunter imigresen.

Mustafar berkata, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang Jabatan Imigresen untuk membuat semakan berkenaan selain menggunakan peranti itu.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 1:51pm
d