mutakhir

Duit ubat isteri hangus

Oleh Rosli Ilham

WANG simpanan seorang warga emas sebanyak RM2,000 untuk membiayai perubatan isterinya yang menghidap kencing manis dan darah tinggi hangus dalam kebakaran rumahnya di Kampung Gong Pasir, Dungun, hari ini.

Menurut Sazali Muda, 61, dia menyimpan wang hasil daripada menjual ubi kayu untuk digunakan bagi membayar kos perubatan isteri yang sedang uzur.

Katanya, ketika kejadian kira-kira 3 pagi, dia berada di rumah anaknya di Taman Perumahan Rakyat Jaya untuk menjenguk isterinya, Faizah Muda, 55.

Katanya, isterinya yang uzur dijaga oleh anaknya itu manakala dia berulang-alik ke Taman Perumahan Rakyat Jaya dari rumahnya.

"Sebelum kejadian itu, anak ada menghubungi kira-kira 2 pagi memaklumkan isteri sakit dan saya terus bergegas ke rumahnya.

"Saya kemudian tertidur di sisi isteri sebelum terjaga selepas dihubungi jiran kira-kira sejam kemudian yang memaklumkan rumah saya terbakar," katanya.

Menurutnya, dia bergegas pulang dan mendapati api sedang marak memusnahkan rumah dan tidak dapat menyelamatkan barangan termasuk wang tunai yang disimpannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Saifuddin Mohammad berkata, seramai 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun serta Paka bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran itu.

Menurutnya, pihaknya menghadapi masalah ketika usaha memadamkan kebakaran itu berikutan tekanan air rendah di kawasan terbabit dan terpaksa mengambil punca air melalui pili bomba sejauh 600 meter dari kediaman berkenaan.

"Ketiadaan pili bomba menyukarkan kami mendapatkan punca air dan kebakaran itu hanya berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 5 pagi.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri Rantau Abang Wan Zulkifli Wan Gati berkata, pihaknya menyalurkan bantuan segera kepada mangsa.

"Kami juga akan mendapatkan peruntukan melalui Tabung Darul Iman untuk bantuan membina semula rumah mangsa yang dianggarkan membabitkan kos sebanyak RM40,000," katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 2:09pm
d