mutakhir

Onar enam jahanam

Oleh Omar Osman

SEORANG bekas tentera yang ditamatkan perkhidmatan antara enam lelaki ditahan polis kerana terbabit dalam kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia Berhad (TM) di sebuah rumah di Sungai Petani, hari ini.

Turut ditahan, seorang pelajar yang dibuang sekolah dan bekas banduan yang pernah dipenjara dua bulan kerana mencuri kabel TM.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 6.15 pagi di Kampung Batu oleh sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal ( URB) bersama Polis Bantuan (PB) TM selepas menerima maklumat rumah itu menjadi lokasi memproses kabel TM yang dicuri.

Sumber berkata, ketika serbuan, terdapat tujuh lelaki dalam rumah tetapi seorang daripada mereka dapat melarikan diri dengan melompat dari tingkap sebelum menghilangkan diri.

“Enam lelaki ditahan itu berusia 17 hingga 32 tahun dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah besar kabel TM dipercayai baru dicuri serta siap diproses.

“Selain itu, polis juga menemui beberapa peralatan digunakan dalam kegiatan itu termasuk alat pemotong, parang dan pedang.

“Polis juga menyita lima motosikal dalam serbuan itu, Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah( IPD) Kuala Muda untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 2:20pm
d