mutakhir

Tahniah Zamri dan Norlia

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SALING bertolak ansur dan bijak membahagikan masa menjadi kunci kejayaan suami isteri untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Politik pada Upacara Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Pasangan terbabit, Zamri Zainal Abidin, 39, dan Norlia Ali, 32, yang kedua-duanya bekerja sebagai Pegawai Penjara di Kluang, Johor berkata, rakan sekerja yang menyambung pelajaran turut menjadi penyemarak semangat bagi menamatkan pengajian.

Norlia berkata, pada mulanya dia hanya meminta pendapat Zamri sekiranya mereka berdua melanjutkan pelajaran dan dalam nada bergurau namun tidak menyangka ia disahut suaminya dengan serius.

"Kami tidak mengambil masa lama untuk berbincang bagi menyambung pengajian walaupun mempunyai dua anak yang masih kecil, kami mengulangkaji pelajaran pada lewat malam selepas mereka tidur.

"Antara kami, suami lebih tegas dan dia sentiasa mengingatkan saya supaya menyiapkan tugasan dan mengulangkaji pelajaran apabila saya sibuk menguruskan rumah tangga serta anak," katanya yang kini hamil enam bulan.

Pasangan itu merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana selepas kelahiran anak ketiga nanti.

Zamri dan Norlia antara pasangan mengambil ijazah dalam bidang masing-masing yang disampaikan Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Paling bermakna, kejayaan mereka turut diraikan bersama dua anak, Muhammad Najmi Naqiuddin, lapan dan Muhammad Naqqib Izzuddin, empat tahun, yang turut dibawa bersama setiap kali menghantar tugasan di USM.

Pada upacara bermula pada 28 Oktober lalu hingga hari ini, seramai 6,850 graduan daripada pelbagai aliran diraikan termasuk Ijazah Kehormat (seorang), Prof Emeritus (seorang), Ijazah Tinggi Doktor Falsafah dan Sarjana (2,043), Ijazah Sarjana Muda (4,759) dan Diploma Kejururawatan (48).

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 3:47pm
d