mutakhir

Jentera perlumbaan dalam Mercedes AMG GT-R

Oleh Lizam Ridzuan

MERCEDES Benz Malaysia (MBM) melancarkan Mercedes AMG GT-R iaitu model perlumbaan yang sesuai untuk kegunaan di jalan raya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Dikuasakan dengan enjin 4.0 liter V8 dengan pengecas turbo berkembar suntikan terus, ia memberi kuasa kuda 585 hp pada 6,250 rpm serta daya tork 700 Nm pada 1,900 hingga 5,500 rpm.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpangnya, Mark Raine berkata, model itu memiliki DNA sebuah jentera perlumbaan daripada model AMG GT 3 dan jeriji AMG Panamericana dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan DCT AMG Speedshift mampu mencapai kelajuan sehingga 318 kilometer/sejam (km/j).

"Ia adalah testimoni sebenar kejuruteraan AMG sebagai sebuah jenama yang menawarkan pemanduan dan rekaan berprestasi bagi kenderaan Mercedes-Benz," katanya ketika pelancaran.

Antara ciri prestasi yang terdapat pada model itu termasuklah suspensi AMG yang mengawal secara elektronik bergantung kepada situasi pengendalian, kelajuan dan permukaan jalan dengan lima mod pemanduan ditawarkan iaitu Comfort, Sport, Sport Plus, Individual dan Race juga dengan pilihan butang transmisi manual.

Harga jualan asas untuk model Mercedes-AMG GT R ialah RM1.7 juta dengan empat tahun waranti tanpa had perbatuan dan sudah mula boleh ditempah mulai hari ini.

Pembeli dijangka bakal menerima kenderaan mereka bermula pada awal tahun hadapan.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 5:03pm
d