mutakhir

Persediaan awal hadapi PRU-14

Oleh Rosliza Mohamed

POLIS Kelantan menempatkan 1,978 pegawai dan anggotanya untuk berkawal di 521 tempat mengundi sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 31 pegawai akan memimpin pasukan terdiri daripada 1,947 anggota bersama wakil agensi penguatkuasaan lain.

Katanya, pihaknya yakin kekuatan itu mampu melicinkan operasi PRU di Kelantan dan turut mendapat bantuan luar negeri.

“Mereka bertugas termasuk sepanjang tempoh berkempen sehingga tarikh mengundi.

"Selain itu mereka juga akan melakukan pemantauan bagi tujuan berkenaan selama tempoh 24 jam," katanya pada Taklimat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) dan Penyelia Pusat Mengundi PRU-14 di Dewan Nilam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya Negeri Kelantan Fakhrul Razi Ab Wahab.

Pada majlis itu, 381 pegawai dan anggota hadir mendengar penerangan lebih lanjut berhubung PRU-14 akan datang.

Din berkata, antara tugas lain dilakukan pihaknya termasuk memastikan lalu lintas berjalan lancar dan tiada ancaman.

"Pengalaman pada PRU-13 akan membolehkan semua pegawai dan anggota dapat menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Fakhrul Razi berkata, seramai 1.2 juta pengundi di Kelantan dijangka menunaikan tanggungjawab mereka dan pihaknya menjangkakan 70,000 orang mendaftar saat akhir.

“Kita harap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPR dapat bekerjasama sepenuhnya sepanjang PRU-14 nanti," katanya.

Beliau berkata, 156,000 orang lagi layak mengundi namun masih belum mendaftar.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 5:30pm
d