mutakhir

Sultan Selangor murka, kecewa...

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan kecewa dengan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor turut menganggap ucapan bekas Perdana Menteri itu keterlaluan serta boleh mencetuskan perasan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru hara.

Setiausaha Dewan di-Raja Selangor Hanafisah Jais dalam satu kenyataan hari ini berkata, Sultan Selangor turut mengingatkan kepada semua pihak terutama ahli politik supaya tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat negara ini.

"Sultan Selangor selepas berbincang dengan Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor pada hari ini memandang serius, murka dan sangat kecewa dengan petikan ucapan Tun Dr Mahathir di Himpunan Sayangi Malaysia - Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu yang dilihat cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

"Berdasarkan rakaman klip video ucapan berkenaan yang tular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Tun Dr Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal usul golongan lanun, perompak dan penjenayah.

"Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis," katanya.

Hanafisah berkata, fakta sejarah membuktikan Kesultanan Selangor berketurunan Bugis adalah pahlawan yang memperjuangkan dan mempertahankan agama serta keamanan di kepulauan Melayu Nusantara.

Beliau berkata, Dr Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri yang menerajui pemerintahan negara selama 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan seharusnya lebih mengetahui fakta sejarah keturunan bangsa Bugis.

"Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menjunjung titah Tuanku berkaitan isu ini dan berpandangan satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil ke atas Tun Dr Mahathir," katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 5:52pm
d