mutakhir

Kereta jiran pun dikebas

Oleh Adnan Ibrahim

BARU empat bulan menyewa di rumah di Taman Kampung Majid, Kluang, Johor, seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan kerana membuat onar mencuri dua kereta milik jirannya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, kejadian disedari mangsa, lelaki berusia 81 tahun kira-kira jam 8 pagi ketika mahu menyiram pokok bunga di halaman rumahnya.

Katanya, sebaik membuka pintu rumah, mangsa terkejut mendapati sebuah Perodua Myvi dan Perodua Axia yang diletak di tempat letak kereta hilang serta melihat pintu pagar dalam keadaan terbuka.

"Bertindak atas maklumat daripada mangsa, beberapa anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melancarkan Ops Lejang dan menyerbu sebuah rumah jiran mangsa pada 8.30 malam semalam.

“€œSerbuan menahan seorang lelaki berusia 52 tahun dan siasatan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau serta turut menemui dua rangkai kunci kereta yang disorok di dalam tong menyimpan beras," katanya kepada pemberita hari ini.

Muhamad berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, pihaknya berjaya menemui semula Perodua Myvi milik mangsa yang diletakkan di tempat meletak kereta sebuah pasar raya di Bandar Kluang kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

“Manakala Perodua Axia mangsa berjaya ditemui di tempat letak kereta Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasek Selatan, Sungai Besi, lebih 200 kilometer dari lokasi ia dicuri," katanya.

“€œBerikutan itu, suspek ditahan reman sehingga 5 November ini untuk membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda," katanya.

Menurut Muhamad, kes berjaya diselesaikan dalam tempoh dua hari dan percaya ia dilakukan suspek secara sendirian melalui penelitian ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejiranan itu.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 6:20pm
d