mutakhir

Ditempatkan sementara di dewan

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

SERAMAI 46 orang membabitkan 10 keluarga yang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Madrasah, Jelutong petang semalam ditempatkan sementara di Dewan Madrasah Ibtidaitul Islamiah, Jelutong.

Seorang mangsa, Shahrin Omar, 42, berkata, semasa kejadian, isteri, tiga anak serta ibu dan bapa berada di dalam rumah sambil berehat.

Beliau berkata, dia dimaklumkan kebakaran berlaku di rumah tengah sebelum merebak dengan pantas ke rumah lain termasuk rumahnya yang terletak berdekatan.

Katanya, api marak dengan begitu pantas tanpa sempat menyelamatkan apa-apa dokumen dan barangan berharga sebelum kediamannya musnah dalam sekelip mata.

"Saya tetap bersyukur walaupun rumah pusaka keluarga berusia 100 tahun musnah, namun ibu dan ayah serta isteri dan anak terselamat dalam kejadian itu.

"Nostalgia keluarga sejak tiga generasi musnah dan tiada lagi kenangan terindah keluarga yang sering kali berkumpul sejak dari kecil lagi," katanya.

Menurutnya, terlalu banyak kenangan manis dan pahit di rumah itu sejak dari kecil, remaja, dewasa dan paling istimewa rumah peninggalan keluarga itu adalah tempat dia dibesarkan, majlis perkahwinan dilangsungkan dan tiga anaknyadilahirkan.

Katanya, semua mangsa kebakaran dimaklumkan akan ditempatkan di rumah transit dalam tempoh terdekat, namun lokasi sebenar masih belum diketahui.

"Saya berharap kerajaan negeri dapat menghulurkan bantuan kepada semua mangsa kebakaran untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Ramai mangsa terdiri golongan warga emas dan ada mempunyai anak masih bersekolah dan kecil," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut hadir melawat mangsa kebakaran selain turut menghulurkan sumbangan kewangan.

"Saya memberikan bantuan awal RM1,000 kepada semua 10 keluarga manakala RM500 lagi sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Timur Laut.

"Tabung bantuan bencana Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang berjumlah RM1,000 turut akan diberikan kepada mangsa dalam tempoh terdekat," katanya.

Selain itu, UMNO Bahagian Jelutong turut menghulurkan bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada setiap keluarga yang disampaikan Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 7:00pm
d