mutakhir

Ini semua cerita `poyo'!

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

SENGAJA mahu timbulkan panik !. Maklumat tular buaya besar muncul di Sungai Semenyih disahkan palsu.

Itu penjelasan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Abd Rahim Othman berhubung maklumat dan gambar tular kemunculan buaya tembaga di Sungai Semenyih sejak dua hari lalu.

Menurutnya, pihak Perhilitan dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih sudah berulang kali menyelusuri Sungai Semenyih termasuk lokasi yang didakwa terdapat buaya.

Bagaimanapun katanya, mereka tidak menemui sebarang tanda kehadiran buaya di sungai itu.

"Malah apabila kami cuba menghubungi semula individu yang membuat laporan, tiada sesiapa yang mahu bekerjasama.

"Gambar buaya yang dimuat naik turut diragui kesahihannya. Ia berkemungkinan gambar diambil luar di Selangor atau mungkin di luar negara.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro ke beberapa lokasi di sepanjang Sungai Semenyih petang tadi mendapati kebanyakan penduduk yang tinggal berhampiran memaklumkan tidak pernah melihat kelibat buaya di kawasan sungai itu.

Seorang penduduk, Siti Zubaidah Zakaria, 43 berkata, Sungai Semenyih mempunyai arus deras dan tidak sesuai menjadi habitat buaya.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 9:30pm
d