mutakhir

Mata pencarian Siti Salmiah [METROTV]

Oleh Mazizul Dani

"NYANYIAN adalah apa yang dia tahu dan berminat. Ini juga (nyanyian) adalah mata pencarian kami dua beranak buat masa ini."

Demikian kata Yahya Senapi, 52, bapa kepada wanita orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, Siti Salmiah, 22, yang video nyanyiannya tular di laman sosial sejak 30 Oktober lalu.

Yahya yang tinggal di Kampung Pokok Tai Lama, Pendang di Kedah, kini menggalas tanggungjawab menjaga anak tunggal istimewa itu sejak kematian isterinya, Ogos lalu.

"Siti (Salmiah) sudah aktif menyanyi sejak lima tahun lalu dan memang saya yang akan membawanya kemana-mana sekiranya mendapat jemputan.

"Sejak ibunya meninggal dunia, sayalah yang menjaganya dan tidak boleh melakukan kerja-kerja lain kerana dia memerlukan bantuan untuk ke mana-mana," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bercerita mengenai anak istimewanya itu, Yahya berkata, Siti lahir pramatang dengan saiz lebih kecil daripada tapak tangannya.

"Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, dia membesar dengan sihat walaupun pada awalnya saya sendiri tidak tahu dia akan selamat ataupun tidak.

"Dalam kekurangannya, dia ada kelebihan lain dengan memiliki suara yang baik dan sudah pandai menyanyi pada usia lima tahun sebelum pandai bercakap," katanya.

Selain nyanyian, Siti Salmiah juga pandai mengaji dan pernah menjadi Johan Tilawah Al-Quran kategori istimewa peringkat kebangsaan pada 2007, 2008 dan 2009.

Anaknya itu juga aktif mengikuti pertandingan hafazan al-Quran dan menyanyi sejak di bangku sekolah dan sering menerima jemputan menyanyi daripada pelbagai pihak.

"Siti ada merakamkan lagu single berjudul Tuhan dan Teman ciptaan Pak Long dua tahun lalu, tetapi tidak mampu mempromosikannya kerana kekangan kewangan.

"Jadi sekarang ini memang fokus kepada kerjaya nyanyiannya bergantung kepada jemputan dan agak sukar untuk dikenali kerana kami bermula daripada bawah," katanya.

Menurut Yahya, ada juga beberapa lagu yang masih diperam kerana menunggu waktu dan keadaan sesuai untuk dirakamkan termasuk aspek kewangan.

Berkongsi mengenai rutin harian anaknya di rumah, Siti yang pertuturannya kadangkala sukar difahami gemar mendengar lagu menerusi radio.

"Dia menyanyi mengikut muzik asal dan akan menghafal sendiri lirik lagu berkenaan kerana ingatannya memang bagus sejak di sekolah lagi.

"Siti boleh menyanyi lagu melayu, arab, klasik, nasyid dan hindustan, serta akan menyanyi ketika berada di rumah," katanya.

Yahya berkata, ketika ini jemputan untuk menyanyi tidak menentu dan sekiranya ada pihak ingin menjemput Siti menyanyi, boleh hubunginya di talian 017-5058389.

Disiarkan pada: November 2, 2017 @ 11:54pm
d