mutakhir

Sistem UPU baru elak silap mohon kursus

Oleh HM Digital

Melaka: Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi menaik taraf sistem permohonan UPU (Unit Pengambilan Universiti) 2018 bagi memudahkan calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam berdasarkan kelayakan masing-masing.

Pengarahnya, Mazula Sabudin berkata, sistem baru diperkenalkan itu membolehkan calon membuat permohonan berdasarkan kelayakan mereka sebaik menerima keputusan SPM yang dijangka diumumkan Mac depan.

“Penggunaan sistem lama menyebabkan ramai calon tersilap percaturan apabila memilih bidang pengajian tidak diminati atau gagal menepati syarat kelayakan.

“Kesilapan itu menyebabkan mereka hilang peluang melanjutkan pengajian dalam bidang diminati,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah UPU 2017 Melaka-Mari Masuk IPT anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kampus Ayer Keroh, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UTeM Prof Datuk Dr Mohd Razali Mohamad, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTeM Dr Ruztamreen Jenal dan Pegawai Perhubungan Jabatan Pendidikan Negeri Abdul Halim Abdul Malek.

Mazula berkata, menerusi sistem diperkenalkan tahun lalu, UPU menerima 200,000 permohonan daripada lepasan SPM namun hanya 149,000 berjaya mendapatkan tempat di universiti awam seluruh negara.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 6:23am
d