mutakhir

Jiran durjana

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Baru empat bulan menyewa di sebuah rumah di Taman Kampung Majid, Kluang, Johor, seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan kerana membuat onar mencuri dua kereta milik jirannya, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, kejadian disedari mangsa, lelaki berusia 81 tahun, kira-kira jam 8 pagi ketika mahu menyiram pokok bunga di halaman rumahnya.

Katanya, sebaik membuka pintu rumah, mangsa terkejut mendapati sebuah Perodua Myvi dan Perodua Axia yang diletak di tempat letak kereta hilang serta melihat pintu pagar dalam keadaan terbuka.

“Bertindak atas maklumat daripada mangsa, beberapa anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melancarkan Ops Lejang dan menyerbu rumah jiran mangsa pada jam 8.30 pagi kelmarin.

“Kami menahan seorang lelaki berusia 52 tahun dan siasatan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau serta turut menemui dua rangkai kunci kereta yang disorok di dalam tong menyimpan beras,” katanya kepada media, semalam.

Muhamad berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, pihaknya berjaya menemui semula Perodua Myvi milik mangsa yang diletakkan di tempat meletak kereta sebuah pasar raya di Bandar Kluang kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

“Manakala Perodua Axia berjaya ditemui di tempat letak kereta Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasek Selatan, Sungai Besi, lebih 200 kilometer dari lokasi ia dicuri,” katanya.

“Berikutan itu, suspek ditahan reman sehingga 5 November ini untuk membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 6:37am
d