mutakhir

Kos mansuh tol RM110j setahun

Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Selangor dan Bukit Kayu Hitam, Kedah bakal menelan belanja RM110 juta setahun untuk 20 tahun sebagai pampasan kepada pengendali.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pampasan berjumlah RM102 juta adalah diperuntukkan bagi pengendali lebuh raya di dua plaza tol di Selangor manakala RM8 juta di Kedah.

“Bagi Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor, kerajaan sebelum ini mengenakan caj jalan RM20 di lebuh raya berkenaan yang menyebabkan caj yang berlebihan dan langkah pemansuhan ini mengimbanginya kembali.

“Sekiranya kita lihat kembali, usaha pemansuhan tol perlu dilaksanakan dengan berhati-hati kerana ia bergantung kepada kemampuan kerajaan menanggung kos dalam pembayaran pampasan kepada pengendali lebuh raya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2017 di sini, semalam.

Dalam Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan mulai 1 Januari 2018, kerajaan bersetuju memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah dan EDL.

Sementara itu, menurut laporan Nikkei Markets sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM70 juta sebagai pampasan kepada pengendali EDL menjadikan jumlah keseluruhan bagi empat tol mencecah RM180 juta setahun.

Mengulas mengenai pemansuhan itu, Abdul Ghani berkata, sebagai pengendali lebuh raya, PLUS menstruktur dan menaik taraf semua plaza tol sehingga 2038 di samping mempunyai bon sehingga RM30 bilion yang perlu dibayar kembali kepada kerajaan.

“Untuk memansuhkan tol perlukan penelitian mendalam dan kerajaan tidak boleh lakukannya sekali gus. Jadi mana yang bersesuaian dan berkemampuan kami ambil sedikit demi sedikit,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 6:52am
d