mutakhir

Nasib baik ada atap

Oleh Mohd Hilmie Hussin

ORANG ramai yang berada di Jalan Bunga Raya, Melaka terkejut melihat seorang lelaki warga asing terbaring atas atap sebuah bangunan kedai dipercayai terjatuh dari bilik hotel, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Razali Che Are berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.19 pagi lalu bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati pelancong warga Australia berusia lingkungan 20-an masih berada di atas atap itu.

Menurutnya, lelaki terbabit yang datang bercuti ke negeri ini bersama rakan senegaranya dipercayai terjatuh dari tingkap bilik hotel yang didiaminya di tingkat satu.

"Dia terselamat kerana terjatuh ke atas atap dari ketinggian 1.2 meter. Pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh badannya bagaimanapun lelaki itu dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Menurut Razali, operasi menurunkan mangsa yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol itu mengambil masa kira-kira 10 minit menggunakan tali dan tangga.

Katanya, lelaki terbabit tidak agresif dan memberi kerjasama ketika diturunkan sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan oleh Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik.

Katanya, lelaki itu bernasib baik kerana jatuh dari tingkap ke atas atap kerana jika tiada atap di bawah tingkap, lelaki terbabit mungkin mengalami kecederaan parah kerana ketinggian tingkap ke jalan kira-kira 3 meter.

Razali berkata, operasi tamat pada 9.50 pagi.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 4:17pm
d