mutakhir

Tilam, bantal dari tempat pembuangan sampah

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

ENAM sekeluarga bukan saja pernah berlapar akibat dihimpit masalah kewangan, malah terpaksa tidur beralaskan tilam dan bantal dikutip di tempat pembuangan sampah.

Ibu tunggal, Rokiah Mustafa, 44, berkata, selepas suaminya meninggal dunia akibat kanser tulang, tahun lalu, empat anaknya berusia antara 13 hingga 22 tahun tinggal berasingan dan ada yang sudah mendirikan rumah tangga, sekali gus mempunyai komitmen tersendiri.

Menurutnya, dia masih perlu menyara anak kelimanya, Nur Atiqah Abdullah, 7, yang tidak dapat bersekolah sejak awal tahun kerana masalah kewangan manakala adik perempuan ketiganya, Hamsun Mustafa, 37, serta tiga anaknya berusia 13 hingga 17 tahun turut menumpang hidup tinggal bersama mereka.

"Kami enam sekeluarga sudah putus harapan dan kini bergantung hidup pada adik kelima kami, Syuhida Mustafa, 33, untuk memberi bantuan barangan keperluan dapur termasuk beras, minyak, gula, telur dan lain-lain lagi selepas dia memperoleh gaji bulanan.

"Walaupun Syuhida serba kekurangan apabila hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, kami tiada pilihan lain kecuali bergantung kepadanya memandangkan saya dan Hamsun tidak dapat bekerja disebabkan mengalami masalah kesihatan," katanya yang tinggal di Flat Projek Perumahan Rakyat Mak Mandin Satu (1) di sini.

Rokiah berkata, bagi mencari sesuap nasi, dia mengambil upah melakukan rawatan urutan tradisional di rumah, namun tidak mendapat sambutan, manakala benjolan di bahu kirinya makin membengkak sejak tahun lalu yang memerlukan pembedahan terpaksa ditunda akibat masalah jantung dikesan sejak dua tahun lalu.

Dia berkata, selain itu, kedua-dua belah kaki Hamsun turut mengalami bengkak hingga terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan hingga menyebabkan dua daripada tiga anaknya berusia 14 dan 15 berhenti sekolah sejak di tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Mandin.

"Walaupun Hamsun menerima bantuan bulanan sebanyak RM350 daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP), sebahagian daripadanya digunakan untuk menjelaskan bayaran sewa rumah sebanyak RM220 setiap bulan tidak termasuk perbelanjaan harian dan seorang anaknya berusia 13 tahun yang masih bersekolah.

"Kami hanya mampu membuat kerja ringan sahaja dengan mengutip tin dan botol di sekeliling flat ini untuk dijual demi mendapatkan duit," katanya.

Rokiah berkata, dia bersyukur kesempitan hidup dialami mereka mendapat perhatian dan simpati jiran yang menghulurkan makanan atau wang tunai setiap kali menziarahi mereka di rumah.

"Kami tidur di atas tilam dan bantal dikutip di tempat pembuangan sampah. Begitu juga dengan almari dan pelbagai perkakas lain yang dibuang penduduk, kami ambil dan gunakan semula.

"Kami tidak kisah walaupun semua peralatan rumah terdiri daripada barangan terbuang, terpakai dan mempunyai bau kurang menyenangkan kerana lebih baik duit disumbangkan jiran itu digunakan untuk membeli sekampit beras daripada kami berlapar," katanya.

Bagi orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) (07121-41-00005241-4) atas nama Rokiah Mustafa atau menghubunginya di talian 017-5440872.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 5:34pm
d