mutakhir

Mujur terdengar tangisan

Oleh D J Dolasoh

BAYI lelaki yang masih bertali pusat ditemui dalam belukar di sebuah resort di Gerik, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, bayi berkenaan ditemui penginap resort yang mendengar tangisan.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Mat Isa berkata, polis menerima maklumat pada 12.23 tengah hari daripada kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hafizi Ahmad Tanjuzi yang menginap di resort berkenaan.

"Berdasarkan keterangan saksi, semasa dia membuka tingkap, dia terdengar tangisan tetapi tidak pasti sama ada manusia atau bunyi binatang.

"Saksi bersama dua rakan, Ahmad Za'im Ramli dan Shahrul Nizam kemudian keluar dari bilik ke tempat tangisan itu untuk membuat pemeriksaan sebelum menemui bayi lelaki dalam keadaan kesejukan di celah pokok di belakang resort," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, saksi mengambil bayi itu dan membawanya ke Klinik Kem Sri Banding, Gerik, sebelum ke Hospital Gerik untuk tindakan lanjut.

"Susulan itu polis berjaya menahan seorang wanita berusia 20-an bagi membantu siasatan.

"Wanita warga Thailand itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik dan kini direman bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita terbabit masuk ke negara ini secara sah dan bertemu rakannya yang bekerja sebagai tukang urut.

"Dipercayai ketika berada di resort berkenaan, wanita itu sudah sampai masa untuk melahirkan anak.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui motif wanita terbabit meninggalkan anaknya di dalam belukar," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi.

Disiarkan pada: November 3, 2017 @ 7:02pm
d